Sunday, June 6, 2010

Apabila Bukti dan Fakta Tidak Diendahkan


Berbagai perasaan berbaur bila membaca/mendengar komen-komen oleh UMNO/BN didalam media pengampu perdana, TV3, RTM dan di laman web sosial, Facebook. Persamaan komen-komen UMNO berhubung sesuatu isu ialah mereka akan melemparkan sesuatu isu/tuduhan tanpa memberikan sebarang bukti atau dalil. Penyokong UMNO dilaman Facebook pula akan menyerang peribadi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan penyokong PR apabila mereka tidak mampu untuk menjawab hujah penyokong-penyokong PR.

Isu berkaitan lesen judi bola dan perlantikan syarikat APCO oleh kabinet pimpinan Perdana Menteri, Dato' seri Najib Razak sebagai perunding imej serta keganasan Israel terhadap kapal MV Mari Marmara dan kapal lain yang terlibat dalam konvoi kemanusiaan ke Gaza menjadi isu hangat diperkatakan.

Hujah pemimpin dan penyokong UMNO ialah lesen judi bola dikeluarkan untuk mengawal kegiatan judi haram dan UMNO tidak "menghalalkan" judi cuma memberi lesen sahaja. Manakala isu perlantikan APCO adalah suatu fitnah, tiada kaitan dengan Israel dan perlu untuk menaikkan imej Malaysia yang buruk di mata dunia.

Apabila bukti dan dalil diberikan oleh penyokong PR tentang judi, antaranya firman Allah dalam surah al-Baqarah: 219 "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi." Katakanlah kepada mereka:"Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia,tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya pula kepadamu:"Apakah yang mereka belanjakan (dermakan)"? Katakanlah Dermakanlah -apa-apa yang berlebih daripada keperluan( kamu)Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya(keterangan -keterangan hukum-Nya)supaya kamu berfikir". Yang menyedihkan ialah ada komen yang mengatakan bahawa arak dan judi adalah sama maka tindakan UMNO memberi lesen judi bola adalah bersesuaian dengan cara pemerintahan Nabi Muhammad (saw) di Madinah.

Isu perlantikan syarikat APCO yang belum reda ditambah pula dengan isu keganasan Israel menjadi "masalah bertimpa-timpa" kepada UMNO. Hujah penyokong PR bahawa tindakan UMNO mengutuk keganasan Israel adalah suatu yang "lawak dan tidak berprinsip" apabila pada masa yang sama melantik dan menggunakan khidmat nasihat APCO yang dikuasai oleh bangsa Yahudi/Israel yang pernah terlibat secara terus dengan tindakan terhadap rakyat Gaza dan Palestin. Jika benar UMNO ikhlas dalam mengutuk tindakan Israel itu maka seharusnya perjanjian antara UMNO dan APCO hendaklah ditamatkan dengan segera. Tindakan beberapa negara memanggil pulang duta negara mereka ke Israel sebagai tanda protes terhadap negara haram Israel harus menjadi contoh kepada UMNO.

Tapi yang menjadi bertambah keliru ialah apabila UMNO berhujah dengan mengatakan bahawa tiada kaitan antara APCO dan kerajaan haram Israel jelas mengambarkan "keikhlasan tindakan mengutuk Israel" dan kedangkalan pemikiran mereka. Juak-juak UMNO sanggup mengheret Dato Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen hanya kerana menimbulkan isu perlantikan APCO dan konsep 1Malaysia yang ditiru dr konsep 1Israel dan disokong dengan bukti jelas menunjukkan tindakan terdesak UMNO demi hendak menegakkan "benang yang basah" dan menutup isu perlantikan APCO itu.

Dakwaan dangkal UMNO bahawa mereka adalah suatu parti yang memperjuangkan islam dengan membawa bukti menunjukkan UMNO banyak terlibat dalam pembinaan masjid dan surau, UMNO sebagai parti yang memperjuangkan melayu, PAS hanya mempergunakan agama untuk meraih kuasa, DAP adalah sebuah parti komunis/ekstrem cina, PKR hanya sebuah parti yang ditubuhkan untuk membela Dato' Seri Anwar Ibrahim semata-mata, tiada pemberian wang atau rasuah berhubung tindakan lompat parti oleh ahli Parlimen dan ADUN PR dan banyak lagi.

Hujah UMNO bahawa mereka memperjuangkan islam disebabkan membina masjid dan surau mungkin boleh dijadikan bahan lawak jenaka. Bukankah Islam itu syumul (menyeluruh) iaitu meliputi segala sudut kehidupan di dunia. Tindakan UMNO meluluskan judi bola, Magnum, TOTO, judi 4D dan kasino Genting Highlands sudah cukup menjadi bukti perbuatan UMNO yg secara jelas mempermainkan agama dan berlakon demi untuk menarik sokongan orang Melayu Islam sebagaimana isu judi digunakan untuk Pilihanraya Kecil Hulu Selangor yang lalu. Mereka berkempen bahawa pengundi hendaklah menolak calon PKR iaitu Dato' Zaid Ibrahim kerana beliau "kononnya terlibat dengan judi lumba kuda dan minum arak yang tegar".

Keengganan UMNO menerima perlaksanaan hukum Hudud yang telah diluluskan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu (1999-2004)juga merupakan bukti rupa sebenar UMNO. UMNO bukan hanya tidak memberi peluang PAS untuk melaksanakan hukum Hudud malah mereka mempersendakan hukum Hudud tersebut, antaranya; siapa yang nak makan sup tangan pergi ke Kelantan, negara akan mundur kerana ramai rakyat kudung tangan sebab dipotong kerana mencuri.

Walaupun bermacam bukti diberikan tentang perlantikan APCO sebagai perunding imej dan komunikasi UMNO seperti salinan perjanjian, kenyataan PDRM dan Menteri Dalam Negeri sendiri namun UMNO masih mempertahankan bahawa perlantikan APCO adalah perlu untuk memperbaiki imej negara. Jika benar imej negara perlu dinaikkan namun persoalannya kenapa harus menggunakan syarikat Israel. Persoalan lain ialah kenapa imej negara kita tercemar dan apakah puncanya. Bukankah selama ini negara kita diperintah oleh UMNO maka apa yang telah UMNO lakukan sehingga imej negara rosak dan perlu diperbaiki dengan nasihat dari APCO.

Pemikiran UMNO yang berpandukan fahaman sekular dan kebangsaan merupakan penyebab keadaan politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh negara kita kini. Hujah-hujah yang bersifat tidak munasabah, kebudak-budakan dan tiada nilai akademik sahaja yang mampu diberikan oleh UMNO. Mereka sedia maklum bahawa kemarahan rakyat masih boleh dipujuk dengan penggunaan janji-janji pembangunan dan "duit sogokan" apabila menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Namun, yang amat menyedihkan ialah tindakan UMNO menyerang peribadi pemimpin Pakatan Rakyat tanpa ada adab sopan dan rasa malu. Manakala mufti-mufti terus bersifat diam membisu berhubung isu lesen judi bola dan judi-judi yang lain. Mengapa terjadi sebegitu padahal mufti adalah merupakan pihak yang bertanggungjawab soal hukum hakam Islam.

Sesungguhnya amatlah benar apa yang dinyatakan oleh firman Allah dalam surah Yassin: ayat 9 yang bermaksud "Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) dibelakang mereka (pada hari Kiamat), lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)".

No comments:

Post a Comment