Tuesday, March 4, 2014

HADIST 1863 KEKACAUAN

Diterima dari Syaqiq RA katanya, "Saya pernah bersama dengan Abdullah dan Abu Musa dan keduanya mengatakan, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sesungguhnya sebelum saat (kiamat) ada beberapa hari (masa) yang ketika itu kebodohan bertambah, pengetahuan berkurang dan huru-hara itu ialah pembunuhan" -Hadist Shahih Al-Imam Al-Bukhary (1863)-

Wednesday, October 23, 2013

Untuk maklumat lanjut berhubung Al-Qayyum Summer Camp 2013.




Monday, October 21, 2013

AL-QAYYUM SUMMER CAMP 2013

In sha Allah, aktiviti terbaru untuk musim cuti sekolah untuk anak-anak remaja yang dikenali sebagai "Al-Qayyum Summer Camp 2013" akan diadakan di tempat dan masa seperti berikut :-

AL-QAYYUM SUMMER CAMP 2013
Tarikh : 8 – 10 Disember 2013
Tempat : Kem El-Azhar, Morib, Selangor
Peserta : 10 – 17 tahun
Yuran : RM 300 se-orang/RM280 se-orang untuk berkumpulan 2 atau lebih

Aktiviti yang disediakan, antaranya ialah Running Man, Night Mud Trekking, High Rope Obstacles, Flying Fox, Kayaking, Basic Survival with Plane Crash Scenario, Safety/Self Defense dan BBQ/Show Night.
 
Berminat sila hubungi Pn. Noor (019-2982304)/Uncle Gent (012-9167449)/Auntie Lina (017-3556963) atau email ke topleadingedge@gmail.com.

Pengangkutan disediakan dari Kuala Lumpur ke Kem El-Azhar, Morib, Selangor

Wednesday, November 24, 2010

Tamak Akan Pahala

Beberapa orang sahabat Muhajirin telah datang berjumpa Rasulullah (saw), mereka berkata " Wahai Rasulullah, orang-orang kaya dari kami bergelimbang harta juga pahala. Mereka solat seperti kami bersolat, berpuasa sebagaimana kami berpuasa, tetapi mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka, sedang kami tidak". Rasulullah (saw) bersabda " Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang dapat menyamai (sedekah) mereka? Bacalah tasbih (Subhanallah), Tahmid (alhamdulillah) dan takbir (Allahuakhbar) tiga puluh kali setiap selepas solat".

Beberapa hari kemudian, mereka kembali menemui Rasulullah (saw) dan berkata " Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya itu mengetahui apa yang kami lakukan, mereka pun lalu mengikuti apa yang kami lakukan". Rasulullah (saw) berkata " Itu adalah kurniaan Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya".

Para sahabat mengadu tentang kemiskinan bukan kerana keduniaan yang tidak mereka miliki tetapi mereka sedih kerana tidak dapat bersedekah sebagaimana orang-orang kaya diantara mereka bersedekah. Orang kaya pula tidak merasa cukup dengan pahala bersedekah maka menambahkan lagi kebaikan dengan mengikuti amalan yang diajarkan oleh Rasulullah (saw) kepada mereka yang miskin. Mereka semuanya berlumba2 untuk mendapatkan pahala dan akhirat.

(dicatat dr buku "Keindahan Rasulullah: Himpunan Kisah Dari Kekasih Allah" karya Abu Faidh Firdausy)

Sunday, July 25, 2010

Asmaul-Husna - Zikir Pembuka Pintu Rezeki


Agak lama tidak menulis disebabkan kesibukan diri atas komitmen terhadap kerja. Terjumpa buku bertajuk "Dahsyatnya Ayat-Ayat Pembuka Pintu Rezeki" karangan Muhammad Hanafiyah ketika berkunjung ke Jogjakarta, Indonesia. Terasa ingin berkongsi ilmu Allah ini untuk menambahkan ilmu bersama.

"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhan mu memaklumkan "sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab Ku sangatlah pedih" (Surah QS Ibrahim: 7)

Pada zaman Rasulullah, ada seorang sahabat bernama Abu Umamah yang hidup serba kekurangan. Abu Umamah menghabiskan sebahagian hari-harinya untuk menyendiri di dalam masjid, sembahyang dan berzikir kepada Allah swt tak henti-hanti. Rasulullah segera memanggilnya setelah melihat hal demikian dan Rasulullah bertanya kepada beliau mengapa dia berbuat demikian. Abu Umamah menjawab "Saya dirundung kesedihan ya Rasulullah! Hutangku pada orang-orang begitu banyak sehingga aku tidak tahan tinggal didalam rumah. Hatiku dilanda perasaan resah dan gelisah". Setelah itu Rasulullah berkata "Wahai Abu Umamah, mahukah engkau kuajarkan beberapa kalimat dan apabila kamu membacanya setip hari secara khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, nescaya Allah swt akan menghilangkan perasaan gelisahmu dan memberi kedamaian dalam menjalani kehidupanmu". Abu Umamah menjawab "Mahu, ya Rasulullah". Kemudian Rasulullah mengajarkan kepada Abu Umamah sebuah doa,

"Allahumma innil a'uudzubika minal hammi wa al hazani wa auudzubika minal 'ajzi walkasali wa a'uudzubika minal jubni wal jukhli wa a'uudzubika min ghalabatid diini waqahrir rijaali"

(yang bermaksud) " Ya Allah! Aku berlindung pada diri-Mu dari kesusahan dan kedukaan, dari lemah kemahuan dan kemalasan, dari sifat pengecut dan kikir dan dari hutang yang banyak dan kezaliman manusia".

Dengan keyakinan bahawa Allah sahaja yang akan mengurniakan kepada kita pertolongan supaya diberi kelapangan hidup. Kita hendaklah yakin bahawa segala rezeki yang kita terima termasuk gaji adalah kurniaan Allah swt. Tiada tempat untuk kita meminta pertolongan selain dari Allah swt, yakni dengan mendekatkan diri kepada-Nya dengan amalan ibadah.

Firman Allah dalam surah al-Maidah:35, "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan"

Allah telah menjamin keberuntungan hanyalah kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya. Selain beriman dan bertakwa, Allah swt juga menganjurkan manusia untuk bekerja sebagai "asbab" (usaha) menjemput rezeki kepada kita. Ini diperjelaskan lagi oleh Allah dalam surah at-Taubah: 105 "Dan katakanlah, "Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga dengan Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui yang ghaib dan nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan".

Rasulullah pernah bersabda "Bekerjalah kamu demi kepentingan hidup duniawi ini seaka-akan kamu akan hidup sela-lamanya. Dan berbuatlah kamu untuk akhiratmu seakan-akan kamu akan mati keesokan pagi" (hadis riwayat Bukhari-Muslim).

Antara amalan zikir asmaul-husna yang digalakkan untuk pembuka pintu rezeki, antaranya:-

1. Ar-Razzaq (Allah Yang Memberi dan Membagi Rezeki)
Berzikir dengan menyebut ar-Razzaq maka Allah akan memudahkan sebab-sebab memperolehi rezeki dan mengurniakan rezeki dari sebab yang tidak terduga oleh manusia.

2. Al-Fattah (Allah Maha Membuka)
Allah membukakan pintu rezeki kepada hamba-Nya yang selalu berzikir menyebut namanya, al-Fattah. Manusia yang selalu berzikir dengan asma Allah ini iaitu al-Fattah maka Allah swt akan membukakan jalan bagi kesulitan-kesulitannya. Allah akan memudahkan seluruh urusannya dan Allah akan membukakan sebab-sebab rezeki, baik zahir mahupun batin.

3. Al-Qaabidh dan Al-Baasith (Allah Maha Menyempitkan dan Melapangkan)
Hanya Allah yang memiliki hak untuk menahan rezeki dan membagikan rezeki kepada mereka yang dikehendaki oleh-Nya. Dengan membaca kedua-dua asma Allah ini, kita akan diberi kurnia untuk senantiasa/selalu mengingati-Nya dimana hati kita yang sempit akan menjadi lapang dan tenang.

4. Al-Ghani, al-Mughni (Allah Yang Maha Kaya dan Maha Pemberi Kekayaan)
Berzikir dengan menyebut asama Allah ini, al-Ghani dan al-Mughni, maka Allah akan memberikan sumber-sumber rezeki yang banyak serta Allah akan mengurniakan harta kekayaan.

5. Al-Latiff (Allah Maha Lembut)
Allah adalah dzat yang memiliki kasih sayang dan kelembutan kepada seluruh makhluk ciptaanya. Berzikir dengan asma Allah ini, al-Latiff, maka Allah akan memberikan pertolongan semasa kita menghadapi kesusahan.

6. Al-Baaqi (Allah Yang Kekal Selama-lamanya)
Berzikir dengan asma Allah ini, al-Baaqi, maka Allah akan memberi kebaikan dan barakah dalam apa-apa jua sesuatu yang dikerjakanya.

7. Al-Warits (Allah Yang Maha Mewarisi)
Berzikir dengan asma Allah ini, al-Warits, akan menjadikan kita orang yang tulus ikhlas menginfakkan hartanya di jalan yang diredhai oleh Allah swt.

Sesungguhnya asmaul-Husna adalah antara ayat yang dianugerahkan oleh Allah swt sebagai kunci pembuka pintu-pintu rezeki dalam khazanah milik Allah swt. Namun "kunci" utamanya iaitu Syahadah (iman) dan sembahyang yang ikhlas serta bertakwa kepada Allah. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada didalam kebenaran" (Surah al-Baqarah:186)

Sunday, June 6, 2010

Apabila Bukti dan Fakta Tidak Diendahkan


Berbagai perasaan berbaur bila membaca/mendengar komen-komen oleh UMNO/BN didalam media pengampu perdana, TV3, RTM dan di laman web sosial, Facebook. Persamaan komen-komen UMNO berhubung sesuatu isu ialah mereka akan melemparkan sesuatu isu/tuduhan tanpa memberikan sebarang bukti atau dalil. Penyokong UMNO dilaman Facebook pula akan menyerang peribadi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan penyokong PR apabila mereka tidak mampu untuk menjawab hujah penyokong-penyokong PR.

Isu berkaitan lesen judi bola dan perlantikan syarikat APCO oleh kabinet pimpinan Perdana Menteri, Dato' seri Najib Razak sebagai perunding imej serta keganasan Israel terhadap kapal MV Mari Marmara dan kapal lain yang terlibat dalam konvoi kemanusiaan ke Gaza menjadi isu hangat diperkatakan.

Hujah pemimpin dan penyokong UMNO ialah lesen judi bola dikeluarkan untuk mengawal kegiatan judi haram dan UMNO tidak "menghalalkan" judi cuma memberi lesen sahaja. Manakala isu perlantikan APCO adalah suatu fitnah, tiada kaitan dengan Israel dan perlu untuk menaikkan imej Malaysia yang buruk di mata dunia.

Apabila bukti dan dalil diberikan oleh penyokong PR tentang judi, antaranya firman Allah dalam surah al-Baqarah: 219 "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi." Katakanlah kepada mereka:"Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia,tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya pula kepadamu:"Apakah yang mereka belanjakan (dermakan)"? Katakanlah Dermakanlah -apa-apa yang berlebih daripada keperluan( kamu)Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya(keterangan -keterangan hukum-Nya)supaya kamu berfikir". Yang menyedihkan ialah ada komen yang mengatakan bahawa arak dan judi adalah sama maka tindakan UMNO memberi lesen judi bola adalah bersesuaian dengan cara pemerintahan Nabi Muhammad (saw) di Madinah.

Isu perlantikan syarikat APCO yang belum reda ditambah pula dengan isu keganasan Israel menjadi "masalah bertimpa-timpa" kepada UMNO. Hujah penyokong PR bahawa tindakan UMNO mengutuk keganasan Israel adalah suatu yang "lawak dan tidak berprinsip" apabila pada masa yang sama melantik dan menggunakan khidmat nasihat APCO yang dikuasai oleh bangsa Yahudi/Israel yang pernah terlibat secara terus dengan tindakan terhadap rakyat Gaza dan Palestin. Jika benar UMNO ikhlas dalam mengutuk tindakan Israel itu maka seharusnya perjanjian antara UMNO dan APCO hendaklah ditamatkan dengan segera. Tindakan beberapa negara memanggil pulang duta negara mereka ke Israel sebagai tanda protes terhadap negara haram Israel harus menjadi contoh kepada UMNO.

Tapi yang menjadi bertambah keliru ialah apabila UMNO berhujah dengan mengatakan bahawa tiada kaitan antara APCO dan kerajaan haram Israel jelas mengambarkan "keikhlasan tindakan mengutuk Israel" dan kedangkalan pemikiran mereka. Juak-juak UMNO sanggup mengheret Dato Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen hanya kerana menimbulkan isu perlantikan APCO dan konsep 1Malaysia yang ditiru dr konsep 1Israel dan disokong dengan bukti jelas menunjukkan tindakan terdesak UMNO demi hendak menegakkan "benang yang basah" dan menutup isu perlantikan APCO itu.

Dakwaan dangkal UMNO bahawa mereka adalah suatu parti yang memperjuangkan islam dengan membawa bukti menunjukkan UMNO banyak terlibat dalam pembinaan masjid dan surau, UMNO sebagai parti yang memperjuangkan melayu, PAS hanya mempergunakan agama untuk meraih kuasa, DAP adalah sebuah parti komunis/ekstrem cina, PKR hanya sebuah parti yang ditubuhkan untuk membela Dato' Seri Anwar Ibrahim semata-mata, tiada pemberian wang atau rasuah berhubung tindakan lompat parti oleh ahli Parlimen dan ADUN PR dan banyak lagi.

Hujah UMNO bahawa mereka memperjuangkan islam disebabkan membina masjid dan surau mungkin boleh dijadikan bahan lawak jenaka. Bukankah Islam itu syumul (menyeluruh) iaitu meliputi segala sudut kehidupan di dunia. Tindakan UMNO meluluskan judi bola, Magnum, TOTO, judi 4D dan kasino Genting Highlands sudah cukup menjadi bukti perbuatan UMNO yg secara jelas mempermainkan agama dan berlakon demi untuk menarik sokongan orang Melayu Islam sebagaimana isu judi digunakan untuk Pilihanraya Kecil Hulu Selangor yang lalu. Mereka berkempen bahawa pengundi hendaklah menolak calon PKR iaitu Dato' Zaid Ibrahim kerana beliau "kononnya terlibat dengan judi lumba kuda dan minum arak yang tegar".

Keengganan UMNO menerima perlaksanaan hukum Hudud yang telah diluluskan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu (1999-2004)juga merupakan bukti rupa sebenar UMNO. UMNO bukan hanya tidak memberi peluang PAS untuk melaksanakan hukum Hudud malah mereka mempersendakan hukum Hudud tersebut, antaranya; siapa yang nak makan sup tangan pergi ke Kelantan, negara akan mundur kerana ramai rakyat kudung tangan sebab dipotong kerana mencuri.

Walaupun bermacam bukti diberikan tentang perlantikan APCO sebagai perunding imej dan komunikasi UMNO seperti salinan perjanjian, kenyataan PDRM dan Menteri Dalam Negeri sendiri namun UMNO masih mempertahankan bahawa perlantikan APCO adalah perlu untuk memperbaiki imej negara. Jika benar imej negara perlu dinaikkan namun persoalannya kenapa harus menggunakan syarikat Israel. Persoalan lain ialah kenapa imej negara kita tercemar dan apakah puncanya. Bukankah selama ini negara kita diperintah oleh UMNO maka apa yang telah UMNO lakukan sehingga imej negara rosak dan perlu diperbaiki dengan nasihat dari APCO.

Pemikiran UMNO yang berpandukan fahaman sekular dan kebangsaan merupakan penyebab keadaan politik, ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh negara kita kini. Hujah-hujah yang bersifat tidak munasabah, kebudak-budakan dan tiada nilai akademik sahaja yang mampu diberikan oleh UMNO. Mereka sedia maklum bahawa kemarahan rakyat masih boleh dipujuk dengan penggunaan janji-janji pembangunan dan "duit sogokan" apabila menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Namun, yang amat menyedihkan ialah tindakan UMNO menyerang peribadi pemimpin Pakatan Rakyat tanpa ada adab sopan dan rasa malu. Manakala mufti-mufti terus bersifat diam membisu berhubung isu lesen judi bola dan judi-judi yang lain. Mengapa terjadi sebegitu padahal mufti adalah merupakan pihak yang bertanggungjawab soal hukum hakam Islam.

Sesungguhnya amatlah benar apa yang dinyatakan oleh firman Allah dalam surah Yassin: ayat 9 yang bermaksud "Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) dibelakang mereka (pada hari Kiamat), lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)".

Thursday, June 3, 2010

Surah Al-Baqarah: ayat 85


Allah Taala berfirman didalam surah al-Baqarah: ayat 85; yang bermaksud :-

"Kemudian sebagian kamu membunuh yang lain, dan kamu usir satu golongan diantaramu dari kampungnya, bertolong-tolongan kamu atas berbuat dosa dan aniaya; kalau datang kepadamu orang-orang tawanan, tebus-menebusi kamu dengan mereka, sedang telah diharamkan atas kamu mengusir mereka. Adakah kamu percaya kepada sebagian Kitab dan ingkar akan sebagiannya? Maka tiadalah balasan bagi orang yang memperbuat demikian diantaramu, melainkan kehinaan dalam kehidupan didunia; dan pada hari kiamat mereka akan dimasukkan kedalam siksaan yang keras, Allah tiada lalai dari apa2 yang kamu kerjakan"

Huraian

Ayat ini sebenarnya diturunkan terhadap kepada Bani Israil (Yahudi) tetapi untuk pengajaran kepada kita kaum muslimin. Barang siapa yang percaya dan menurut sebagian Kitab tetapi meninggalkan sebagiannya, maka ia mendapat kehinaan dan kesusahan diatas dunia, sedang di akhirat akan dimasukkan ke dalam neraka.

Banyak orang-orang islam, kita lihat mereka mengerjakan sembahyang, puasa, haji dsbnya tetapi mereka mengambil hak orang atau hak negara, menganiaya, mencaci, (mengumpat), iri hati, takabbur, adu mengadu, memutuskan silaturrahim (bermusuh-musuhan) dsb. Maka orang yang seperti itu, adalah beriman dan menurut sebagian Quran tetapi kafir (engkar) kepada sebagian yang lain.

Oleh sebab itu adalah balasan untuk mereka kehinaan dan kesusahan diatas dunia, sedang diakhirat disiksa pula. Dengan keterangan ini patutlah kaum muslimin insaf, supaya mereka beriman dan menurut apa2 yang diperintahkan oleh Allah dalam Quran semuanya, bukanlah dengan menurut satu dua ayat saja.

(Tulisan adalah berpandukan "Tafsir Quran Karim" oleh Prof. Dr. H. Mahmud Yunus, dicetak pada 11 Januari 1973 bersamaan 6 Zulhijjah 1392/ mukasurat 20)